Pages

Jom tengok apa ada..

Tetamu Terhormat.. TQ!

Search This Blog

Friday, August 27, 2010

Nuzul Al Quran 17 Ramadhan 1431Hijrah


Salam,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita
kepadanya melalui ketaatan yang berterusan serta meninggalkan segala kedurjanaan yang boleh mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Semoga dengan amalan yang diredhai Allah S.W.T dapat memberkati kehidupan kita didunia dan diakhirat.

Allah s.w.t telah memperingatkan kepada kita semua, tentang satu peristiwa sejarah kemuliaan kitab Allah yang dinamakan dengan Al-Quranulkarim, yang telah dikurniakan kepada junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W. Oleh itu, pada hari yang berbahagia ini, mari kita menyingkap kembali sejarah awal penurunan Al-Qurannulkarim atau pun yang dikenali dengan Nuzul Al-Quran.

Hari ini 27 Ogos 2010 bersamaan 17 Ramadhan 1431 Hijrah. 17 Ramadhan merupakan hari Nuzul Al-Quran. Apa itu hari Nuzul Al-Quran? Nuzul Al-Quran adalah hari dimana Al-Quran diturunkan buat pertama kali. Pada siapa Al-Quran diturunkan? Dimana? Apa ayat pertama yg diturunkan?

Nuzul Al-Quran memberi maksud penurunan ayat-ayat Al-Quranulkarim sebagai wahyu Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui perantaraan malaikat Jibril a.s dengan beberapa cara yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T manakala dalam tempoh masanya pula, sebahagian Ulamak Mufasirin telah mengatakan ianya berurutan selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di Makkah Al-Mukarramah 10 tahun di Madinatul Munauwarah.

Sebahagian ulamak mufasirin mengatakan, bahawa Al-Quran diturunkan sekaligus dari luh mahfuz ke Baitil Izzati pada malam Al-Qadar, iaitu satu malam yang paling mulia dari beribadat selama 1000 bulan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-qadar".

-Al-Qadar ayat 1-

Ia merupakan ayat pertama yang diturunkan, ketika mana Nabi Muhammad S.A.W. sedang beribadat di gua hiraa'. Di mana baginda telah didatangi oleh malaikat jibril a.s. dengan mengajarkan ayat-ayat Allah dari Surah Al-Alaq , ayat 1-5 yang bermaksud:

" Bacalah (wahai muhammad) dengan nama tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan tuhanmu yang amat pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia, apa yang tidak diketahuinya".


Sesungguhnya Al-Quranulkarim itu adalah mukjizat yang paling besar dikurniakan kepada junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W. ianya akan berkekalan hinggalah ke hari kiamat kelak. Tiada mukjizat sehebat Al-Quran yang pernah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada para rasul dan nabi-nabi yang lain. Ini membuktikan kepada kita bahawa, Nabi Muhammad S.A.W. adalah seorang rasul yang paling agung dan terakhir bagi umat akhir zaman. Oleh itu, kita adalah umat yang paling beruntung, kerana adanya Al-Quran, dibandingkan dengan umat-umat yang terdahulu, biar pun mereka mempunyai kitab-kitab seperti Zabur, Injil dan mazhab-mazhab yang lain, namun yang paling lengkap dan sempurna adalah Al-Quranulkarim, yang ada pada umat islam hingga kehari ini.

Sesungguhnya tiada seorang pun yang mampu mencipta ayat-ayat Al-Quran walaupun sepotong ayat yang setanding dengan kehebatan Al-Quran. Dalam hal ini, Allah S.W.T sentiasa memperingatkan kita tentang segala bukti dan keterangan yang terdapat dalam al-quran itu tidak boleh diragui sedikit pun.Sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang kamu turunkan (al-quran) kepada hamba kami (muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surat yang sebanding dengan al-quran itu, dan panggillah orang-orang kamu yang percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar".

-Al-Baqarah ayat 23-

Berdasarkan ayat tadi jelaslah, bahawa Al-Quran adalah hak Allah yang wajib kita peliharai dan janganlah sekali-kali cuba mengkhianati, menafikan, bahkan mempersendakannya atau melakukan apa sahaja dengan tujuan merendah-rendahkan martabat Al-Quranulkarim.

Inilah kehebatan Al-Quran yang menjadi satu mukjizat yang amat besar, kurniaan Allah S.W.T kepada umat nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu, apa pun tindakan dilakukan untuk menghancurkan Al-Quran, namun Al-Quran tetap terjaga dan terpelihara oleh Allah S.W.T. Firman allah s.w.t. yang bermaksud:

"Sesungguhnya kamilah yang menurunkan al-quran, dan kamilah yang memelihara dan menjaganya".

-al-hijr ayat 9-

Tujuan utama Al-Quran diturunkan antaranya ialah sebagai petunjuk ke jalan yang benar, untuk menghapuskan kesesatan dan kemungkaran, terutamanya dalam perkara akidah dan perundangan Islam. Selain itu, ianya menjelaskan peristiwa hari kiamat yang pasti akan berlaku, sebagai satu peringatan untuk persediaan awal menghadapinya.

Terdapat juga kisah-kisah sejarah para nabi yang diutuskan untuk membawa akidah yang benar, namun sebahagian besar kaum mereka, masih tetap dalam kekufuran dan kesesatan, sebagaimana umat Nabi Musa dan Isa a.s yang mana akhirnya mereka yang kufur telah dimurkai dan dilaknat oleh Allah S.W.T. Kesemua ini, adalah sebagai satu pengajaran kepada kita agar sentiasa berpegang teguh dengan akidah yang sebenarnya. Oleh itu, yakinlah dengan apa yang dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam Al-Quranulkarim, bahawa segala perintah dan perundangannya, adalah ketetapan Allah S.W.T dan tidak boleh diragui lagi.

Umat Islam perlu mengambil sikap yang lebih bersungguh-sungguh untuk menghidupkan jiwa kita dengan nur Al-Quran. Berbagai cara boleh diamalkan untuk mewujudkan perasaan cinta terhadap al-quran. Antaranya :

Pertama - Menyematkan dalam hati dengan keikhlasan dan berkeyakinan tinggi bahawa Al-Quran itu bukanlah ayat-ayat ciptaan manusia, sebaliknya adalah wahyu daripada Allah s.w.t.

Kedua - Meyakini bahawa Al-Quran adalah mukjizat yang paling besar dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w, yang dijadikan hijjah dan sumber rujukan hingga ke hari ini. Ketiga - Meyakini bahawa Al-Quran, sekiranya dibaca dengan banyak dan bertajwid, nescaya pembacanya akan diberi pahala dan ganjaran yang amat besar oleh Allah s.w.t. Keempat - Meyakini dan menyedari bahawa Al-Quran pasti akan memberi syafaat kepada pembaca dan penghafaznya, ketika mana diakhirat kelak. Kelima - Manusia yang menyuburkan hatinya dengan kalam Allah, akan menjadi manusia yang berakhlak mulia, berhati bersih dan beroleh keredhaan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan apabila engkau membaca al-quran (wahai Muhammad), kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu".

- Al-Isra' ayat 45 -

Sebagai umat Islam, maka wajiblah bersyukur kerana telah dikurniakan dengan nikmat Islam dan iman yang sebenarnya. Bersyukur dalam erti kata yang sebenarnya adalah dengan hati yang penuh takwa dan takut kepada Allah s.w.t. Tiada gunanya kita menyatakan kesyukuran itu, sekiranya Al-Quran diabaikan tanpa membacanya atau memahami dan mengamalkan ajarannya. Malah lebih malang lagi ada dikalangan manusia yang bersikap biadap dengan memijak al-quran dan menguwek-nguwekkannya. Hati mereka telah gelap dan menyimpang jauh orang yang tidak mampu membezakan perkara-perkara yang hak dan batil, pahala dan dosa, halal dan haram. Yang sopan dikatakan kolot yang sesat didewa-dewakan. Malah dalam menegaskan hal ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya al-quran ini memberi petunjuk ke jalan yang benar (iaitu ajaran islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman , yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar".

-Al-Isra' ayat 9 -

Oleh itu, marilah sama-sama kita berusaha mencari keberkatan Allah s.w.t dan berdoa agar sentiasa berada di bawah rahmat dan lindungannya serta beroleh kebahagiaan hidup didunia dan diakhirat.

Ya Allah , kurniakan kerahmatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, ke atas negeri kami Wilayah Persekutuan KL. Jadikan rakyatnya bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, lindungi kami daripada persebgketaan, perpecahan, fitnah memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian WPKL dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat. Amin.

Kredit: www.jais.gov.my

2 comments:

Unknown said...

Indahnya Islam ya Kak

atieaizam said...

@mieny_angel betul tu.. sangat indah.. :)

Iklan