Pages

Jom tengok apa ada..

Tetamu Terhormat.. TQ!

Search This Blog

Tuesday, January 24, 2012

Penyusuan Bayi Kembar


Mari kita kongsi bersama info mengenai Penyusuan Bayi Kembar yang diambil dari FB..

PENYUSUAN BAYI KEMBAR

Menyusu bayi kembar adalah cabaran yang hebat bagi ibu bapa yang hebat. Sebaik mengetahui kandungan adalah bayi kembar, ibu-ibu (dan juga bapa-bapa) perlu:
1. bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menerima kehadiran 2 bayi (atau lebih) serentak
2. bersedia untuk kemungkinan bayi lahir pramatang
3. bersedia untuk kemungkinan kelahiran secara pembedahan caesarean
4. membuat perancangan corak penyusuan yang akan diberi kepada bayi

Persediaan mental adalah sangat penting bagi ibu yang bercadang memberikan penyusuan eksklusif untuk bayi kembar kerana akan timbul persoalan tentang “susu tidak cukup”. Ramai menganggap susu ibu akan tidak cukup lebih-lebih lagi pada hari-hari awal kelahiran maka salah seorang atau kedua-duanya secara bergilir mungkin akan diberi susu formula!

Para ibu harus sedar dan yakin bahawa berapa ramai pun kembar yang dilahir serentak, susu ibu pasti cukup untuk mereka. Beberapa tips yang boleh diamalkan:

1. Menyusu seawal 1 jam pertama.

Ramai ibu sudah sedia maklum tentang keperluan menyusu seawal 1 jam pertama ini untuk merangsang penghasilan susu ibu.

Sekiranya ibu melahirkan bayi pramatang dan kurang berat badan, penyusuan ibu adalah ‘ubat’ paling mujarab untuk menambah berat badan bayi kerana susu ibu memang dicipta untuk bayi baru lahir walau berapa pun usianya ketika dia lahir.

Sekiranya ibu melahirkan bayi secara pembedahan caesarean, mintalah bantuan jururawat untuk membantu memposisikan kedudukan ibu untuk menyusu pada jam pertama. Sebaiknya berbincang awal dengan doktor atau jururawat bertugas hasrat ibu untuk menyusu pada 1 jam pertama sebaik mengetahui pembedahan akan dijalankan.

2. Menyusu sekerap mungkin

Secara puratanya bayi baru lahir menyusu antara 8-12 kali dalam tempoh 24 jam. Bagi bayi kembar, ibu-ibu boleh menyusu kedua-duanya serentak pada masa yang sama atau secara bergilir mengikut keselesaan ibu. Rujuk rajah posisi penyusuan bayi kembar seperti di bawah.
Pada minggu-minggu pertama mungkin ibu-ibu akan merasakan bayi menyusu agak kerap dan keadaan ini akan meletihkan ibu. Ia adalah perkara normal sebelum bayi menunjukkan pola penyusuannya selepas usianya sebulan. Malah perkara ini harus diterima positif oleh ibu kerana ini menandakan keperluan bayi untuk menyusu tinggi maka ia akan menghantar isyarat ke otak bahawa penghasilan susu ibu harus ditingkatkan.

Susukan bayi sebelum dia menangis. Pada hari-hari awal kelahiran, biasakan rutin menyusu setiap setengah jam. Jika ibu menyusu bayi seorang demi seorang aturkan masa menyusu supaya si kembar tidak menangis ketika yang seorang lagi sedang menyusu.

3. Banyakkan berehat

Ibu-ibu perlu berehat dengan secukupnya untuk mengurangkan stress yang akan mengganggu penghasilan susu ibu. Ibu boleh tidur apabila bayi tidur. Sesetengah ibu selalu menjadikan masa tidur bayi sebagai masa ibu untuk membuat kerja. Ini adalah kurang tepat kerana ibu juga perlu berehat dan menenangkan fikiran. Suami harus memainkan peranan membantu menguruskan perkara-perkara lain sementara ibu menumpukan kepada menguruskan bayi.

4. Minum banyak air dan makan makanan berkhasiat

Air adalah komponen penting dalam penghasilan susu ibu. Amalkan minum air sambil menyusu atau selepas menyusu sekurang-kurangnya segelas air, jus atau susu. Ibu menyusu perlu makan makanan berkhasiat secukupnya untuk menampung kehilangan kalori semasa penyusuan. Ibu-ibu juga digalakkan makan vitamin, kalsium dan zat besi seperti yang diambil semasa hamil.

5. Hadkan pelawat

Perkara ini mungkin agak sukar untuk dilakukan kerana ramai pelawat yang terdiri daripada rakan-rakan, jiran dan saudara mara ingin berkongsi kegembiraan dengan kehadiran bayi kembar. Namun begitu ibu masih perlu memperuntukkan masa bersama bayi terutama privasi ketika menyusukan bayi. Minta pelawat tinggalkan bilik ketika masa menyusu telah tiba, ambil masa privasi anda kerana ianya penting untuk memastikan kelangsungan produksi susu ibu.

6. Bersedia dengan soalan “Cukupkah susu?”

Soalan ini mungkin akan ditanya oleh ramai orang malah mungkin dari diri ibu sendiri. Biarpun ibu menyedari tentang konsep “demand and supply” dalam proses penghasilan susu ibu namun soalan ini mampu menggugat kepercayaan dan keyakinan ibu untuk menghasilkan susu yang mencukupi untuk bayi. Abaikan soalan-soalan sebegitu malah tidak perlu berhujah panjang untuk menyakinkan orang lain tentang “cukup susu”. Apa yang penting ialah yakinkan diri sendiri dan pasangan bahawa susu ibu mencukupi untuk menampung keperluan kedua-dua bayi kembar. Banyakkan berdoa semoga Allah melimpahkan rezeki untuk anak-anak.

7. Posisi penyusuan ibu

Berikut adalah rajah posisi yang boleh dipilih untuk ibu menyusukan bayi kembar. Ibu boleh menyusu serentak kedua-dua bayi dalam satu masa atau menyusu seorang dahulu kemudian diikuti oleh seorang lagi atau minta bantuan orang lain memberi susu perahan kepada seorang bayi sementara ibu menyusu yang seorang lagi. Pastikan kedua-duanya mendapat peluang direct feeding yang sama.

Walau apa pun posisi yang dipilih oleh ibu pastikan ianya selesa, tidak menyakitkan bahagian belakang atau abdomen. Gunakan banyak bantal sebagai sokongan.

8. Persediaan Susu Perahan

Ibu-ibu perlu bersedia dengan stok susu perahan sebagai persediaan untuk kembali bekerja. Untuk bayi kembar sudah semestinya keperluannya sekali ganda jika dibandingkan dengan seorang bayi sahaja. Bersedialah dengan mula memerah seawal 2 minggu selepas bayi lahir untuk mendapatkan stok yang mencukupi untuk keperluan 2 orang bayi.

No comments:

Iklan