Pages

Jom tengok apa ada..

Tetamu Terhormat.. TQ!

Search This Blog

Saturday, February 11, 2012

Bagaimana Rotavirus Merebak?

Apa itu Rotavirus

Rotavirus merupakan penyebab utama cirit-birit teruk sehingga menyebabkan tubuh menjadi kontang (dehidrasi/tidak cukup air dalam tubuh badan) di kalangan bayi. Ia bertanggungjawab kepada hampir sebahagian besar kes cirit-birit teruk yang memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital.

Adalah dianggarkan, hampir semua kanak-kanak di serata dunia akan mengalami episod gastroenteritis rotavirus. Seorang daripada lima kanak-kanak akan membuat lawatan ke pakar perubatan manakala seorang daripada 65 kanak-kanak akan dimasukkan ke hospital dan seorang daripada 293 pesakit akan mati.

Gejala-gejala

Lumrahnya, gastroenteritis menyebabkan muntah dan cirit-birit. Untuk menentukan punca-puncanya, pakar perubatan mesti menanyakan sama ada kanak-kanak itu terdedah kepada salah satu punca jangkitan (makanan, minuman atau haiwan), tempoh dan jenis tanda-tandanya, kekerapan muntah atau episod cirit-birit, dan usia kanak-kanak.

Tanda-tanda jangkitan rotavirus merangkumi demam, sakit perut, muntah dan cirit-

birit berair. Cirit-birit boleh menjadi ringan, sederhana atau serius dan boleh berlanjutan sehingga sembilan hari. Cirit-birit yang teruk boleh menyebabkan dehidrasi.

Bagaimana Rotavirus Merebak?

Bentuk utama jangkitan ialah dari najis ke mulut. Disebabkan oleh keadaan virus ini yang stabil dalam persekitaran, jangkitan boleh berlaku selepas minum air atau makan makanan tercemar dan melalui sentuhan dengan permukaan yang telah dijangkiti.

Seperti penyakit-penyakit mudah berjangkit lain, Rotavirus disebarkan daripada seorang ke seorang lain (daripada individu yang dijangkiti ke individu sihat) atau melalui pengambilan air atau makanan tercemar, atau bersentuhan dengan permukaan yang aktif dengan virus tersebut (seperti lampin, mainan, atau bantal).

Malangnya, membasuh tangan dengan betul sahaja ada kalanya tidak mampu mencegah jangkitan rotavirus kerana ia kebal terhadap kebanyakan jenis sabun dan langkah-langkah menjaga kebersihan.

Jangkitan masih boleh berlaku walaupun pada kawasan-kawasan yang mempunyai tahap kebersihan yang sepatutnya. Ini mencadangkan bahawa perbezaan dalam persekitaran (air, kebersihan dan sanitasi) tidak mempengaruhi insidennya.


Umur yang berisiko tinggi

Hampir semua kanak-kanak dijangkiti oleh gastroenteritis rotavirus dalam tempoh awal kehidupan mereka, peringkat di mana mereka mudah diserang penyakit tersebut.

Rotavirus:

* Menjangkiti 95 peratus kanak-kanak yang berumur kurang lima tahun

* Biasa menjangkiti kanak-kanak berumur antara empat dan 36 bulan. Kumpulan ini mudah terdedah dan berisiko tinggi mendapat jangkitan teruk sehingga perlu dimasukkan ke hospital

* Melibatkan semua kanak-kanak dari sebarang etnik, budaya dan sosioekonomi.

* Ia merupakan punca kematian kira-kira 440,000 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di seluruh dunia.

Komplikasi Rotavirus

Rotavirus boleh berubah menjadi komplikasi yang teruk dalam masa yang singkat memandangkan jangkitan virus ini yang boleh menyebabkan kehilangan bendalir badan yang banyak.

Jika jangkitan rotavirus tidak ditangani segera, ia boleh mendatangkan akibat yang serius seperti penyahhidratan yang boleh menyebabkan hipovolemia (suatu gangguan yang memperlihatkan jumlah darah yang beredar makin berkurangan), kegagalan peredaran darah malah, kematian.

Kanak-kanak lebih berisiko mendapat komplikasi serius dan kematian akibat jangkitan rotavirus berbanding orang dewasa.

Apabila digabungkan muntah yang kerap, cirit-birit yang berpanjangan boleh menyebabkan penyahhidratan serius dan membahayakan.

Kanak-kanak yang tidak mendapat terapi penghidratan mulut ataupun intravena bagi kes-kes yang lebih serius, mahupun jagaan hospital, boleh mati kerananya.

Apakah yang patut dilakukan dalam tempoh jangkitan?

* Berhati-hati dengan tanda-tanda awal penyahhidratan iaitu hilang selera makan, mulut kering dan kerengsaan

* Kerap membekalkan cecair kepada kanak-kanak yang dijangkiti untuk menggantikan kehilangan bendalir dalam badan ekoran muntah dan cirit-birit.

Apabila kanak-kanak dijangkiti rotavirus dan berada dalam peringkat serius, menjadi satu perkara biasa jika pesakit muntah dan cirit-birit sebanyak 20 kali sehari.

Sehubungan itu, adalah perlu untuk memasukkan kanak-kanak terbabit ke hospital bagi dibekalkan cecair secara intravena (suntikan dalam pembuluh darah).

Kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus biasanya mendapat rawatan sokongan bagi mengawal gejala-gejala dan komplikasi penyakit itu. Penyahhidratan selalunya dikawal melalui terapi rehidrasi/penghidratan semula melalui mulut.

Bila perlu berjumpa doktor

* Jika kanak-kanak gagal mengekalkan kandungan cecair bagi tempoh lebih 24 jam

* Jika kanak-kanak terbabit ternyahhidrat

* Jika muntah-muntah lebih daripada tiga jam

* Kanak-kanak yang dijangkiti itu mestilah tidak diberikan sebarang ubat-ubatan untuk menghentikan cirit-biritnya kecuali yang diarahkan oleh pakar perubatan.

1 comment:

[.ika itu aku.] said...

kene amik tau ni..
tq ye utk info..

Iklan